MUKAH: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu memberi kesan kepada ramai peniaga khususnya yang masih mencari tapak kukuh untuk melangkah maju.
Namun pakej ‘Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KitaPrihatin’ yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini memberi nafas tambahan buat peniaga untuk melalui detik sukar yang bukan sahaja dirasai di negara kita, malah seantero dunia.
Bagi Norazryna Abdul Rahman, pemilik syarikat Millenium Creative Solutions di Mukah, pakej bantuan itu amat melegakannya selepas beliau melalui fasa yang amat mencabar ketika PKP.
Syarikat milik Norazryna itu menjalankan perniagaan percetakan khususnya mencetak baju, kain pemidang, poster serta pelbagai cetakan yang dikehendaki pelanggan.


Mengakui agak terkesan ketika PKP mula dikuatkuasakan, Norazryna berkata, kini beliau lega selepas menerima bantuan berjumlah RM70,000 daripada Kementerian Kewangan.
Bantuan itu katanya, dimanfaatkan untuk menampung pembayaran gaji pekerja, melunaskan sewa kedai serta membeli keperluan percetakan.
“Syukur Alhamdulillah, bantuan yang diterima mencukupi untuk menampung perniagaan yang terbantut ketika PKP.
“Dengan bantuan itu, perniagaan saya mampu bertahan dan saya amat bersyukur, apabila PKP tamat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan hingga kini, banyak sektor kerajaan dan swasta datang untuk mencetak termasuk bahan-bahan berkaitan kesedaran COVID-19 untuk diedar dan diagihkan kepada orang awam,” katanya.
Norazryna berkata, kini beliau sudah mampu meraih sedikit keuntungan untuk dijadikan modal pusingan dan menambah baik perniagaan agar kembali pulih seperti biasa.
“Terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang menyediakan bantuan ini terutamanya dalam bantuan subsidi gaji pekerja yang sekali gus membolehkan usahawan seperti saya untuk meneruskan perniagaan.
“Kita mengharapkan kerajaan yang prihatin seperti ini dikekalkan untuk memberi banyak lagi manfaat kepada yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut mengakui, sebelum ini juga menerima bantuan kerajaan yang menyalurkan pembiayaan di bawah Program Usahawan Teknikal (PUTEK) menerusi MARA.
“Saya amat berterima kasih dengan keprihatinan dan tunjuk ajar dari Pengarah MARA Negeri Sarawak, Dr Azmi Amat Murjan serta pegawai-pegawainya khususnya pegawai MARA Daerah Mukah, Awangku Hiezan Khaidir yang banyak membantu saya dalam merealisasikan impian saya bergelar usahawan wanita dalam bidang percetakan ini.
“Dengan bantuan kerajaan itu, alhamdulillah syarikat saya mampu bersaing apabila jualan semakin meningkat dan saya dapat fokus dalam promosi dan pemasaran tanpa memikirkan soal tanggungan yang lebih berat,” katanya.