KUALA TERENGGANU: Pengusaha batik dan songket di negeri ini bakal menerima sekurang-kurangnya empat manfaat secara langsung melalui Belanjawan 2021.

Pengarah Urusan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin, berkata beliau bersyukur kerana kerajaan mengumumkan untuk meneruskan Program Subsidi Upah (PSU) bagi meringankan beban kewangan majikan untuk tempoh tiga bulan lagi pada tahun depan.

“Bermula April lepas, seramai 55 pekerja Noor Arfa menerima manfaat melalui program ini yang dibayar sebanyak RM1,200 seorang selama tiga bulan berturut-turut dan kemudiannya RM600 untuk setiap pekerja selama enam bulan.

“Syarikat akan membuat permohonan untuk menikmati bantuan program ini serta bantuan lain diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 melalui insentif PenjanaKerjaya termasuk mengambil graduan dan pekerja yang baru diberhentikan majikan untuk bekerja di Noor Arfa,” katanya ketika ditemui BERNAMA di sini, hari ini.

Meskipun masih belum mendapat perincian mekanisme pengambilan pekerja baharu dalam kalangan graduan dan pekerja diberhentikan itu, Wan Mohd Hafiz yakin langkah itu dapat membantu usahawan untuk terus berada dalam industri sepanjang tempoh mencabar semasa COVID-19 ketika ini.

“Walaupun jualan menjunam hingga 50 peratus sebaik sahaja moratorium berakhir pada September lepas, kami masih boleh bertahan dengan insentif kerajaan terutama melalui PSU.

“Tumpuan Noor Arfa ketika ini adalah memperkasakan segmen pasaran secara dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terus menambah kemahiran kakitangan ke arah transformasi digital syarikat,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Pengarah Urusan Manang Songket Sdn Bhd, Wan Manang Wan Awang yang gembira dengan langkah kerajaan menawarkan insentif untuk usahawan seperti PSU dan Skim Transformasi Pendigitalan Industri.

“Untuk PSU, 11 kakitangan syarikat menerima manfaatnya sejak April lepas. Kami juga akan membuat permohonan untuk mendapatkan geran daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

“Begitu juga pengumuman kerajaan untuk menggalakkan majikan mengambil graduan dan pekerja yang baru diberhentikan, kami akan cuba memohonnya juga dan akan menambah elaun kepada pekerja sekiranya mereka berkemahiran dalam bidang tenunan songket,” katanya.

Wan Manang mengakui iklim ekonomi ketika ini paling suram berbanding krisis ekonomi terdahulu.

“Sungguhpun begitu, songket ialah seni warisan yang mempunyai segmen pembeli tersendiri, apatah lagi songket Terengganu keluaran syarikat kami sangat mementingkan kualiti terbaik demi kepuasan pelanggan.

“Memang jualan agak terjejas, namun insentif disediakan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu untuk membantu usahawan meneroka pasaran digital seperti e-kraf bazar dan My Craft Shoppe sangat positif dan mesti diperkasakan,” katanya. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/751998/belanjawan-2021-pengusaha-batik-songket-terima-4-manfaat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Didalam artikel ini: