Kuala Lumpur: Badan pelesenan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) selaku pelikuidasi kepada tadbir urus Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM), bersetuju untuk melaksanakan agihan royalti secara bayaran pendahuluan melalui Unlogged Performance Allocation (UPA) pada Januari 2021. Ia susulan mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid pada 9 Disember 2020 berhubung status agihan royalti tertunggak ahli RPM dan PRISM.
Menurut Rosol, keputusan dicapai itu sekali gus menamatkan kemelut isu agihan tunggakan royalti muzik yang berlarutan sejak 2018. Aktiviti kutipan royalti muzik itu dilaksanakan secara berpusat melalui satu kaedah bayaran di bawah badan pelesenan tunggal, Music Rights Malaysia (MRM) Berhad. “Persetujuan pembayaran UPA itu adalah hasil tindakan bersama Kementerian dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selaku perantara dan pemudahcara kepada kemelut terbabit. Ia mendapat kerjasama MdI, PRISM, MRM Caretaker Management Committee dan PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC). “Jumlah agihan royalti tertunggak RM11,788,347.18 akan diagihkan sebahagiannya secara permulaan melalui kaedah UPA sebanyak RM500 seorang kepada ahli RPM dan PRISM yang berkelayakan mulai 29 Januari ini. “Dianggarkan seramai 1,134 ahli RPM dan 396 ahli PRISM akan menerima bayaran pendahuluan itu sebelum baki agihan terbabit diagihkan mengikut jumlah pelaporan penggunaan lagu (usage report),” katanya. Menurutnya lagi, dengan adanya inisiatif UPA RM500 setiap seorang, kementerian dan MyIPO berharap bayaran permulaan itu dapat membantu penggiat seni tanah air dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi dan industri kreatif negara. “Isu tunggakan agihan royalti muzik bagi pelaku rakaman (meliputi penyanyi dan pemuzik rakaman) itu sudah berlarutan sejak 2018 apabila aktiviti kutipan royalti muzik dilaksanakan secara berpusat melalui satu kaedah bayaran pelesenan di bawah MRM Berhad,” katanya. Sepanjang operasi MRM Berhad sebelum penggulungan badan itu pada Julai 2020, agihan pendapatan royalti diagihkan tanpa pertikaian kepada MACP Berhad dan PPM Sdn Bhd. Namun, bagi RPM dan PRISM, agihan royalti tidak dapat dilaksanakan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan MRM berikutan pertikaian antara dua badan terbabit kerana pertindihan keahlian selepas PRISM digulungkan. Bagi ahli-ahli tidak tersenarai dalam senarai ahli yang layak menerima agihan royalti diminta untuk menghubungi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Wilayah Kuala Lumpur melalui talian 03-2618 3000 (samb. 2246) untuk mengemukakan dokumen- dokumen berkaitan untuk semakan dan pengesahan.
 
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 12:51 PM
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Didalam artikel ini: